Wednesday, October 6, 2010


Keluarga merupakan institusi yang terpenting dalam kehidupan seseorang manusia. Hal ini demikian kerana, institusi keluarga yang mantap mampu membawa ahlinya berjaya dan menjadi manusia yang berguna. Di dalam institusi ini, ibu bapa memainkan peranan yang amat penting dalam membentuk ahli keluarganya supaya mematuhi etika hidup yang berlandaskan kebaikan dan meninggalkan kemungkaran. Ibu bapa yang baik akan memastikan anak-anak mereka memperolehi persediaan yang cukup dari segi fizikal, emosi, rohani, jasmani dan psikologi yang cukup. Sekiranya salah satu komponen yang dinyatakan sebentar tadi tidak dimiliki oleh anak-anak, nescaya akan berlaku tindakan yang tidak diingini yang dilakukan oleh anak-anak mereka. Penyediaan komponen seperti fizikal, emosi, rohani, jasmani dan psikologi yang mencukupi amat perlu bagi memastikan anak-anak mereka merasakan mereka di sayangi dan dikasihi serta di perhati. Sekiranya penyediaan ini tidak langsung dilakukan oleh ibu bapa atas alasan sibuk mencari nafkah, nescaya cahaya mata yang mereka sangka permata akan bertukar menjadi kaca. Pembiaran anak-anak tanpa mengambil tahu akan situasi mereka sangat-sangat tidak wajar dilakukan kerana memberi peluang kepada anak-anak untuk bersaing dengan rakan yang tidak berkualiti serta rosak masa depan. perkara ini akan menjerumus anak-anak mereka yang terbabit ke lembah kerosakan akhlak dan masalah sosial. Oleh itu, marilah kita menjaga keluarga kita agar setiap ahli yang berada di dalam sesebuah institusi kekeluargaan yang dibina akan berasa gembira dan dihargai serta disayangi. Perhatikan gerak geri anak-anak dan sebagai anak-anak, janganlah kita menyusahkan ibu bapa yang kita kasihi dan sayangi.Sayangi ibu bapa anda lebih daripada segala insan yang anda sayang di muka bumi ini.

No comments:

Post a Comment