Sunday, October 24, 2010

Mengimbau Kenangan Bersama Ishak Haji Muhammad (Pak Sako)

Ishak Haji Muhammad atau lebih dikenali sebagai "Pak Sako" merupakan seorang penulis dan penghasil karya yang giat berkarya pada era sebelum perang sehinggalah ke akhir hayatnya. Pak Sako sangat giat menulis. Penulisannya memasuki ke beberapa genre karya sastera. Antaranya penulisan novel, penulisan cerpen, memoir dan penulisan yang bercorak umum. Pak Sako dilahirkan pada  tahun 1909 di Kampung Bukit Seguntang (antara Kampung Tengah dengan Kampung Buntut Pulau), Temerloh, Pahang dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Laki-Laki Temerloh (atau kini Sekolah Kebangsaan Kampung Tengah), Temerloh pada tahun 1919 dan melanjutkan pelajaran ke Sekolah Inggeris Clifford, Kuala Lipis pada tahun 1924 hingga 1928. Pak Sako lulus sijil persekolahan dari Sekolah Inggeris Raub pada tahun 1929. Pada tahun 1930, beliau       melanjutkan pelajaran ke MCKK (Maktab Melayu Kuala Kangsar) untuk berlatih sebagai Pegawai dalam Perkhidmatan Pentadbiran Tanah Melayu (Malayan Civil Service). Beliau pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Penolong Pegawai Daerah, Majistret Kelas III dan guru bahasa sebelum menyertai dunia penulisan. Di dalam bidang penulisan, Pak Sako telah menjadi pengasas kepada Syarikat Utusan Melayu dan meninggalkan Warta Melayu demi untuk merealisasikan hasratnya untuk mewujudkan Utusan Melayu. Selain berkecimpung dalam bidang penulisan, Pak Sako juga teribat dalam bidang politik dan menjadi seorang nasiolis. Buktinya  pada tahun 1941, Ishak yang terlibat dengan Kesatuan Melayu Muda (KMM) telah ditangkap oleh pihak British dan dibebaskan apabila Jepun berjaya menakluk Singapura pada tahun yang sama.  Beliau kemudian menjadi Ketua Pengarang Berita Malai di samping turut menyumbangkan rencana dan cerpen dalam Semangat Asia dan Fajar Asia. Ishak menjadi semakin aktif dalam arena politik dan bidang kewartawanan sesudah tamat perang.  Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang ditubuhkan pada tahun 1945 pernah menerima Ishak sebagai salah seorang anggota pucuk pimpinannya.  Apabila darurat diisytiharkan pada tahun 1948, kegiatan Ishak dianggap membahayakan keselamatan negara lalu beliau ditangkap sekali lagi dan ditahan di Penjara Pudu, Kuala Lumpur.  Dari Penjara Pudu, Ishak dipindahkan ke beberapa buah khemah tahanan lain.  Ishak kemudiannya telah dibebaskan tanpa syarat dalam bulan Mei 1953. Setelah bebas dari tahanan, Ishak bertugas di Malayan Film Unit (MFU) di Kuala Lumpur sebagai penulis skrip hingga bulan Disember 1955.  Mulai 6 Mac 1958, Ishak dilantik sebagai Ketua Pengarang Semenanjung di Singapura.  Walau bagaimanapun minatnya terhadap politik tanah air tidak pernah malap terutama apabila beliau dilantik mengetuai Parti Buruh Malaya dan Socialist Front.  Dalam pilihan raya umum 1959, Ishak bertanding bagi kawasan Bukit Bintang pada tahun 1964 tetapi gagal untuk memenangi sebarang kerusi. Sewaktu tercetusnya konfrontasi antara Malaysia dengan Indonesia pada tahun 1965, Ishak telah ditahan sekali lagi.  Selepas dibebaskan pada tahun 1966, beliau  kembali bergiat dalam bidang penulisan.  Ishak kemudiannya ditawarkan bertugas dengan Utusan Melayu sebagai penulis khas.  Tulisannya yang amat popular ialah “Kenangan Hidup Pak Sako” yang disiarkan secara bersiri dalam Mingguan Malaysia, dan ruangan “Di Simpang Jalan” dengan menggunakan nama Pak Pandir Moden. Beliau juga pernah menjadi penulis ruangan pojok “Pepatah Petitih” dalam majalah Gila-gila. Di Dalam bidang penulisan kreatif, Pak Sako telah menghasilkan beberapa karya. Antaranya ialah :  
   
Novel
-
Jalan ke Kota Bharu, Singapura: Qalam, 1956, 159 hlm.
-
Budak Beca, Marang: H.C. Muhammad Abdul Rahman, 1957,                                             173 hlm. (dua penggal),    Penggal I, 98 hlm., Penggal II, 75 hlm.
-
Cemburu Celik, Singapura:  Geliga Limited, 1957, 19 hlm.
-
Mencari yang Lari, Singapura : Geliga Limited, 1957, 108 hlm.
-
Pengantin Baru, Singapura: Geliga Limited, 1957, 120 hlm.
-
Pertemuan di Sungai, Singapura: Geliga Limited, 1957, 93 hlm.
-
Putera Gunung Tahan, Singapura: Geliga Limited, 1957 (cetakan kedua),                         113 hlm. (cetakan pertama 1937)
-
Selayang Pandang, Singapura: Geliga Limited, 1957 – 1959, 209 hlm.,                                 (dua penggal), penggal I, hlm. 1-84, Penggal II, hlm. 85-209
-
Judi Karan, Singapura: Geliga Limited, 1958, 132 hlm.
-
Mata-mata Sukarela, Singapura: Geliga Limited, 1959, 123 hlm.
-
Anak Mat Lela Gila, Kuala Lumpur: Penerbitan Federal Berhad,                                      1966 (cetakan ketiga), 131 hlm., (cetakan pertama 1941).
-
Norita dan Kisah-kisah Kucing Hitam, Marang : H.C. Muhammad Abdul Rahman, 1966, 212 hlm.
-
Yang Miskin dan yang Mewah, Kuala Lumpur: Pustaka Melayu Baru, 1966, 120 hlm.
-
Anak Dukun Deraman, Kuala Lumpur: Pustaka Gunung Tanah, 1967, 222 hlm.
-
Tijah Tukang Cukur, Marang: H.C. Muhammad Abdul Rahman, 1967, 171 hlm.
-
Satay Saloon, Kuala Lumpur: Pustaka Gunung Tanah, 1968, 152 hlm.
-
Sidang Serangga, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1990, 121 hlm.


Cerpen
-
Segar, Singapura: Qalam, 1961, 188 hlm.
-
Karangan Bunga dari Selatan (antologi bersama), Kuala Lumpur: Penerbitan Jambatanmas, 1963, 61 hlm.
-
Rintisan (antologi bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1964, 265 hlm.
-
Senda Gila-gila (antologi bersama), Kuala Lumpur: Creative Enterprise Sdn. Bhd., 1980, 124 hlm.
-
Menunggu Ratu Adil (antologi bersama), Kuala Lumpur: Penerbitan Adabi Sdn. Bhd., 1984, 218 hlm.
-
Angin Pulau (antologi bersama), Kuala Lumpur: teks Publishing Sdn. Bhd., 1985, 433 hlm.
-
Dongeng Merdeka (antologi bersama), Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1985,339 hlm.


Memoir
-
Pengalaman Pak Sako Tiga Tahun di Singapura: Petaling Jaya: Pustaka Budaya Agency, 1975, 61 hlm.


Umum
-
Pak Pandir Moden di Simpang-simpang Jalan, Kuala Lumpur: Karya Bistari, 1988, 86 hlm.
-
Pepatah Petitih, Kuala Lumpur: Creative Enterprise Sdn. Bhd., 1989 (Jilid I), 283 hlm.

Bagi menghargai sumbangan serta jasanya terhadap kesusasteraan Melayu moden, maka pada 29 Jun 1973, Universiti Malaya telah menganugerahi beliau Ijazah Kehormat Doktor Kesusasteraan. Pada 29 Mei 1976 pula, Ishak dianugerahkan gelaran “Pejuang Sastera” oleh Perdana Menteri Malaysia berserta hadiah wang tunai RM10 000.00 dan watikah penghargaan.  Walau bagaimanapun, Pak Sako telah menolak anugerah “Budayawan GAPENA 1987” atas sebab-sebab tertentu. Ishak Haji Muhammad meninggal dunia pada 7 November 1991 ketika berusia 82 tahun di rumahnya di Kampung Bukit Raya, Kilometer 16, Jalan Hulu Langat, kerana diserang angin ahmar.  Sebagai menghargai jasanya dalam mempelopori bidang kewartawanan, politik dan sastera, beliau dianugerahkan “Tokoh Kewartawanan Negara” pada 24 September 1995.  Beliau merupakan tokoh ketika yang menerima anugerah tersebut selepas Tan Sri A. Samad Ismail dan Tan Sri Lee Siew Yee.  Dan sebagai mengenangkan jasanya, Utusan Melayu sejak tahun 1992, telah mewujudkan “Hadiah Sako” untuk diberikan kepada penulis novel nasional yang terbaik.  Hadiah ini berupa wang sejumlah RM30 000.00 dan watikah. Begitulah secara selayang pandang mengenai tokoh sastera yang terulung di negara ini iaitu Ishak Haji Muhammad atau nama penanya "Pak Sako".

Potret Kenangan Bersama Sasterawan Negara (Dato' Anwar Ridhwan)

Potret ini telah mengungkap seribu kenangan yang paling indah buat diriku. Peluang yang tidak ku duga menemui diriku. Hanya dengan satu program, aku diberi peluang untuk bergambar dengan seorang Sasterawan Negara iaitu Dato' Anwar Ridhwan. Peluang keemasan ini tidak dimiliki oleh setiap orang. Walaupun pada hari kejadian, ketika mentari mengukirkan senyumannya, aku ditugaskan untuk menjaga parking untuk Sasterawan Negara ini. Tidak ku duga, dengan hanya menjaga Parking kepada Sasterawan Negara ini, aku dapat bergambar dengannya. Pada hari itu, aku dan rakanku, saudara Safwan Razali yang merasmikan terlebih dahulu upacara berfotografi bersamanya. Ini lah saat yang ku rasa sangat berharga dan indah di dalam hidupku. Sasterawan ini hadir bagi menyempurnakan dan menjadi tetmu khas bagi program bicara karya sastera yang di anjurkan oleh Kelab Pengajian Melayu, UKM pada baru-baru ini. Karyanya dijadikan sebagai media untuk dibicarakan oleh ahli panel pada majlis tersebut. Melalui program ini, ia sebenarnya memberiku satu ruang dan peluang serta kenangan yang palin indah untk aku garapkannya di dalam memori ku buat selamanya.

Friday, October 22, 2010

Kenangan Yang Terindah Dalam Menganjurkan Program

Majlis Diskusi Novel merupakan satu majlis yang telah di anjurkan oleh Program Persuratan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia(UKM) dibawah subjek Novel Melayu yang di kelolai oleh pensyarah En. Che Abdullah bin Che Ya. Majlis ini diadakan bagi membicarakan setiap karya novel dan karya novel telah dipilih dan diberi tugasan kepada setiap pelajar untuk menganjurkannya dan membicarakan tentang karya. Setiap minggu, pada hari selasa bertempat di Makmal Pengajian Melayu,  Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu(PPBKM), aras 5 FSSK, UKM, jam 12.00 tgahari, majlis akan bermula. Syukur alhamdulillah, selama penganjuran majlis ini, sambutan daripada hadirin yang datang sangat memberangsangkan. Selain hadirin pendengar, penulis dan penghasil serta rakan pena penulis juga turut menghadirkan diri ke majlis ini biarpun majlis ini diadakan secara kecil-kecilan. Kehadiran penulis, penghasil karya dan rakan pena penulis ini sebenarnya telah memberi peluang dan ruang kepada kami untuk mengenali mereka dengan lebih rapat, mencungkil segala pengalaman mereka yang jauh lebih berpengalaman dengan lebih dekat dan mendalam serta mengeratkan hubungan  silaturrahim di antara rakan pena penulis atau penghasil novel dengan mahasiswa Persuratan Melayu, UKM. Alhamdulillah, saya dan dua orang lagi sahabat iaitu saudari Asma Azman dan Nurushuhada telah di beri amanah dan tanggungjawab untuk menganjurkan satu majlis diskusi novel pada 19 Oktober 2010. Novel "Lentera Mustika" karya Puan Nisah Hj Haron telah menjadi novel anjuran kami untuk didiskusikan oleh para panel pembentang. Alhamdulillah, Majlis kami berjalan dengan lancar dan kehadiran para hadirin jua turut memberangsangkan. Puan Nisah Hj. Haron dan sahabat penanya turut hadir ke majlis ini. Seramai tiga orang ahli panel pembentang telah menganalisis karya novel "Lentera Mustika" ini dengan analisis dan pendekatan yang berbeza sehinggakan para hadirin terpesona dengan hasil pembentangan dan analisis novel yang telah di bicarakan oleh mereka. Puan Nisah hj Haron juga telah memberi komentar yang sangat berguna kepada audien dan para pembentang bagi memajukan diri dalam bidang penulisan novel dan bidang penulisan kreatif yang lain. Sebagai penganjur, inilah julung-julung majlis yang saya rasa telah memberi berbagai-bagai input yang berguna kepada saya dan mahasiswa Persuratan Melayu sekalian dalam usaha untuk memajukan diri dalam bidang penulisan karya novel secara khususnya dan juga bidang penulisan kreatif yang lain. Majlis ini menjadi satu lakaran kenangan yang paling indah buat saya dan kumpulan saya. Penganjuran aktiviti sebegini amat wajar diteruskan kerana ia memberi satu reaksi yang positif oleh pihak atasan, bawahan, para pendengar dan rakan pena penulis sekalian. 
                                  "Hidup Persuratan Melayu UKM!!"
  ( "Memartabatkan seni kesusasteraan sebagai identiti keperkasaan pemikiran bangsa Melayu")

Wednesday, October 20, 2010

Keindahan floran Hutan Lipur Sekayu, Terengganu

Hutan lipur sekayu atau lebih dikenali juga dengan air terjun sekayu terletak di dalam kawasan hutan simpanan hulu terengganu tambahan. Ianya berada di dalam daerah hulu terengganu, 16 kilometer dari pekan kuala berang dan 56 kilometer dari bandar kuala terengganu. Hutan lipur tersebut mempunyai keluasan lebih kurang 405 hektar. Pelbagai spesis tumbuhan dan pokok yang terdapat di hutan ini termasuklah pokok-pokok yang mempunyai khasiat perubatan yang tinggi.  Di sini juga terdapat banyak infrastruktur dan kemudahan-kemudahan rekreasi yang telah disediakan seperti tempat penginapan, taman permainan kanak-kanak, pondok rehat, tempat berkhemah, jalan dalam hutan (jungle tracking) dan lain-lain lagi.Keunikan hutan lipur ini ialah terdapat sebuah air terjun 3 peringkat yang cantik dan mempersonakan yang ianya merupakan daya tarikan utama kepada pengunjung ke sini tidak kira pengunjung dari dalam dan luar negeri. Air sungainya yang jernih dan sejuk membuatkan sesiapa sahaja melupakan segala masalah apabila mereka datang berkunjung ke sini. Bagi penggiat dalam bidang penulisan kreatif, Air terjun Sekayu di Hulu Terengganu ini menjadi satu destinasi yang sesuai untuk mencari ilham bagi menghasilkan karya. Deruman air terjunya yang mengalir, bunyi-bunyian unggas dan fauna yang lain serta kenyamanan udara di kawasan ini mampu memberi satu impak yang positif dalam mencari ilham dan secara tidak langsung dapat menghasilkan karya yang berkualiti. Bagi penggiat dalam bidang yang lain, destinasi ini mampu memberi satu suasana yang tenang dan nyaman serta mampu melepaskan segala tekanan dalam sekelip mata. Jadi secara kesimpulannya "jom pakat-pakat kite gi air terjun Sekayu..best ngat..sgotie ni....". 

Sunday, October 10, 2010

Aduhai Mat dan Minah remp-it..insaflah kamu semua..

Gejala Mat rempit dan Minah rempit merupakan satu gejala negatif yang serius dan semakin menular dikalangan muda-mudi kita pada hari ini. Mat rempit merujuk kepada kaum lelaki yang menunggang motosikal secara merbahaya. Manakala Minah rempit pula adalah penunggang motosikal kaum perempuan yang menunggang motosikal secara merbahaya ataupun pembonceng kepada Mat rempit. Mat rempit dan Minah rempit ini bergerak di dalam satu kumpulan yang besar dan melakukan aksi tunganggan yang merbahaya sehingga menganggu pengguna jalan raya yang lain. Apa yang menyedihkan, peringkat umur yang menganggotai kumpulan Mat rempit ini adalah majoritinya pelajar sekolah. Usia persekolahan merupakan peringkat umur yang paling berada di peringkat teratas yang menganggotai kumpulan Mat rempit dan Minah rempit ini. Kebanyakan Mat rempit menggunakan motosikal yang tidak memenuhi syarat piawaian yang diluluskan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan(JPJ) atau (PUSPAKOM). Mereka telah mengubahsuai motosikal mereka daripada tahap standard kepada tahap yang paling laju. Kelajuan, tahap bunyi bising motor dan tunjukkan aksi yang merbahaya merupakan satu kriteria yang dilihat bagi mengiktiraf seseorang Mat rempit dan Minah rempit itu hebat. Tunjukan aksi yang merbahaya dilakukan bagi mempertontonkan kehebatan dirinya di mata golongan seangkatan dengannya. Perbuatan itu tidak langsung memikirkan mereka ke arah lembah bahaya yang akan menimpa mereka sekiranya sesuatu yang tidak diingini berlaku. Bahaya tidak langsung difikirkan oleh mereka, namun kepuasan, sorakan, tepukan dan jeritan yang paling maksimum apabila melakukan sesuatu tunganggan yang merbahaya di depan khalayaknya adalah satu keistimewaan dan keperluan bagi mereka. Bagi mereka, sekiranya komponen itu diperolehi oleh mereka, mereka akan  berasa puas dan hebat dan mahu mengulanginya dengan tindakan yang lebih merbahaya. Antara tindakan yang sering dilakukan oleh Mat rempit dan Minah rempit ini ialah whelley(mengangkat tayar hadapan dan bergerak dengan hanya menggunakan tayar belakang) dan wheelkang(mengangkat tayar belakang ketika memberhentikan motosikal). Tindakan jenis ini sering dilakukan oleh Mat rempit sambil membonceng Minah rempit. Tindakan ini memperlihatkan juga kehebatan Minah rempit yang berani dalam mengimbangi motosikal yang ditunganggi Mat rempit ketika wheelley. Tindakan itu merbahaya dan peristiwa ngeri akan berlaku sekiranya imbangi itu tidak Berjaya diimbangi.
            Di Kuala Terengganu, menjelang hari jumaat di waktu petang mengukirkan senyuman, Mat rempit di negeri ini akan mengganas. Mereka akan bergerak dengan satu kumpulan yang besar bagi melakukan aksi yang membahayakan diri mereka dan pengguna jalan raya yang lain. Lampu isyarat merah di langgarnya,  kenderaan pengguna yang lain dirosakkannya dan pelbagai lagi tindakan yang biadab dilakukan oleh golongan ini. Perlakuan yang kurang ajar dan merbahaya  ini dilakukan oleh mereka biarpun jalan raya pada katika itu sibuk. Tindakan ini bagi menunjukkan kepada orang awam bahawasanya pada hari cuti di negeri itu, merekalah raja dan mereka yang berkuasa di atas jalan raya di sekitar Kuala Terengganu. Tindakan kurang ajar  dari golongan ini ltelah menyebabkan kenderaan pengguna jalan raya yang lain terpaksa memberi laluan kepada mereka untuk beraksi biarpun kenderaan pengguna jalan raya yang lain jauh lebis besar daripada kenderaan tungganggan Mat dan Minah rempit ini. Sekiranya tidak di beri laluan,  mereka akan mengganas dan mangsanya adalah pengguna jalan raya yang lain. Di Jalan yang menghala ke Wakaf Tapai, Kuala Berang dan Ajil serta jalan Durian Burung di Kuala Terengganu merupakan  litar haram untuk mereka beraksi ketika waktu cuti di Negeri Terengganu. Kumpulan Mat dan Minah rempit yang sangat besar akan mula memenuhi kiri dan kanan jalan raya di kawasan terbabit. Penguasaan mereka di kawasan tersebut telah menyebabkan pengguna jalan raya yang lain menghadapi kesukaran untuk melalui di kawasan tersebut. Penglibatan Minah rempit juga sangat menonjol. Ini menjadikan masalah ini tidak tertumpu kepada kaum lelaki sahaja. Malahan juga kaum perempuan. Pihak polis Di Raja Malaysia perlu memainkan peranan yang penting dalam usaha membanteras gejala sosial ini. Pihak ibu bapa merupakan institusi yang sangat penting dan terlalu penting peranannya dalam membanteras gejala sosial ini. Ibu bapa perlu mengawasi anak-anak mereka agar tidak terjerumus di dalam kumpulan merbahaya ini. Ibu bapa janganlah terlau sibuk mengejar kerjaya kerana ini akan memberi peluang kepada anak-anak untuk bertindak dengan lebih liar. Awasi anak-anak. Perhatikan mereka. Perhatikan dengan siapa mereka berkawan, ke mana mereka pergi dan awasi tindak tanduk anak-anak anda. Tindakan ini bukan untuk mengongkong  mereka tetapi hanya untuk memastikan mereka tidak terjebak di dalam kancah kehancuran ini dan memastikan mereka sentiasa selamat. Peranan institusi pendidik juga amat perlu bagi membanteras gejala ini. Warga pendidik perlu menyusup masuk elemen-elemen yang positif di dalam setiap proses pengajaran mereka agar pembentukan sifat atau tindakan yang positif dapat di lentur di dalam jiwa pelajar. Perkara ini akan membantu pihak kerajaan dalam membanteras gejala ini. Peranan diri sendiri juga amat perlu bagi membenteras gejala ini. Pemilihan rakan sebaya yang positif amat perlu bagi memastikan diri seseorang itu tidak terjebak dengan gejala Mat rempit dan Minah rempit ini.  Pemilihan rakan juga akan mempengaruhi diri dan tindakan seseorang. Sekiranya pemilihan rakan sebaya yang negatif akhlaknya, nescaya, seseorang itu juga akan mengikuti sikap, sifat dan tindakan negatif yang ada di dalam diri rakan mereka. Sekira pemilihan rakan sebaya yang lebih positif, maka terpeliharalah akhlak seseorang daripada rosak. Rumusannya disini, marilah kita membanteras masalah atau gejola sosial ini agar tidak merebak ka akar umbi dan generasi seterusnya. Setiap individu dan kumpulan individu perlu memainkan peranan yang sama penting dalam usaha membanteras gejala Mat dan Minah rempit ini agar pandangan negatif pelancong asing terhadap masalah sosial ini dapat di perbetulkan dan Modal insan dapat dipasarkan dengan lebih meluas serta memajukan Negara di persada  dunia. Secara tidak langsungnya akan membentuk perilaku, peribadi dan sahsiah diri muda mudi ke arah yang lebih unggul dan mantap.


AKIBAT DAN KESAN DARIPADA GEJALA INI :

1.0 Kemalangan jalan raya yang sangat sadis dan ngeri sehingga mengorbankan nyawa.






2.0 Maksiat Berleluasa.





3.0 Seks Bebas.




4.0 Pembuangan Bayi berleluasa




5.0 Pergaduhan Puak.


6.0 Gengsterisme dan jenayah.

LANGKAH-LANGKAH :

1.0 Peranan Kerajaan - Melalui Kempen.



   -Pembanterasan gejala ini secara berterusan oleh pihak berkuasa(PDRM)
  


2.0 Peranan Ibu Bapa.


3.0 Peranan Institusi Pendidikan.






4.0 Peranan Kendiri :




5.0 Peranan Masyarakat :








Wednesday, October 6, 2010

Renungan seorang ibu...




Apakah yang direnungi oleh wajah seorang ibu ini?. Memikirkan nasibnya kah?, Memikirkan sumber kewangannya kah? atau merindui anak-anaknya?. Wajah seorang ibu ini mampu memberi pelbagai tafsiran kepada setiap orang yang melihatnya. Kerana tugas seorang ibu tersangatlah banyak. Apabila seorang yang bergelar ibu termenung, yang umurnya sudah mencecah peringkat yang boleh dikatakan warga emas, menimbulkan pelbagai tanggapan daripada masyarakat yang melihatnya. Bagi saya, saya melihat wajah ibu ini seperti ia merindui orang yang disayangnya. Seorang ibu tidak mahu akan wang yang banyak. Mereka mahukan kasih sayang, perhatian yang lebih daripada orang yang disayangnya. Mungkin wajah ibu ini merindui arwah suaminya, merindui anak-anaknya dan juga cucu-cicitnya. Mengapa saya melontarkan tanggapan sedemikian, kerana, berdasarkan pemerhatian saya dicorong- corong radio, dan televisyen, hampir kebanyakan ibu bapa mahukan kasih sayang dan perhatian daripada anaknya. Mereka tidak mahu akan wang anak-anak. Apa yang mereka mahukan hanyalah kasih sayang daripada anaknya. Saya tersentuh apabila menonton satu rancangan di televisyen, yang telah disiarkan oleh satu syarikat penyiaran yang tersohor di Malaysia. Rancangan ini mengisahkan nasib ibu bapa yang malang di rumah orang tua di Melaka. Mak Wan, seorang ibu yang telah melontarkan satu pesanan kepada anak-anaknya apabila ditemu bual oleh seorang wartawan yang berbunyi "Mak Wan haramkan anak-anak Mak Wan ambil jenazah Mak Wan apabila Mak Wan meninggal Kelak". Daripada apa yang disampaikan oleh Mak Wan ini jelas menunjukkan betapa hampanya perasaan seorang ibu yang terkilan dengan perbuatan anak-anaknya yang menghantarnya ke rumah Orang Tua tersebut. Ibu bapa mampu 10 orang anak, tetapi anak-anak belum tentu mampu menjaga seorang ibu dan seorang bapa. Hal ini wujud dan dapat di buktikan kerana masih ramai lagi ibu bapa yang menetap di Rumah Orang Tua. Oleh hal Demikian, saya berpesan kepada diri saya sendiri dan juga pada sekalian masyarakat khususnya kepada anak-anak, janganlah kita menderhaka kepada ibu bapa kita kerana syurga di bawah telapak kaki ibu. Jagailah mereka, sayangilah mereka seperti mana mereka menyayangi anda dan janganlah sakiti hati mereka. Kepada anak-anak yang berada di perantauan, ingatilah ibu bapa anda yang berada di kampung kerana mereka sentiasa merindui anda. Wahai anak-anak kampus, ibu bapa telah bersusah payah menghantar anda semua ke universiti. Ada yang berhutang, ada yang bergadai dan ada juga yang terpaksa menjual harta pusaka semata-mata untuk menghantar anda ke universiti. Jangan menghampakan mereka dan biarlah mereka datang ke universiti menyaksikan anda semua menerima ijazah atau diploma dan bukan menyaksikan anda menyimpan barang-barang kerana di buang universiti. Jagailah air muka mereka, maruah mereka dan pastikan  anda mengukir senyuman bukannya tangisan.                                      

Nasi Dagang merupakan hidangan istimewa yang terkenal di Terengganu dan Kelantan. Nasi dagang Terengganu biasanya diperbuat daripada campuran beras dan beras pulut dan dimasak bersama-sama santan kelapa. Nasi dagang Terengganu dihidangkan dengan kuah nasi dagang yang dimasak dengan menggunakan rempah khas (berlainan dengan rempah kari biasa). Ikan yang digunakan biasanya ikan aya hitam (ikan tongkol) yang bersaiz besar, dipotong. Selain itu acar timun juga disediakan.Nasi dagang dikatakan dikenali sedemikian kerana, hanya mempunyai satu lauk (tanpa acar timunnya). Mudah, bagaikan mereka yang dalam perdagangan tanpa penyediaan lauk-pauk yang banyak

Keluarga merupakan institusi yang terpenting dalam kehidupan seseorang manusia. Hal ini demikian kerana, institusi keluarga yang mantap mampu membawa ahlinya berjaya dan menjadi manusia yang berguna. Di dalam institusi ini, ibu bapa memainkan peranan yang amat penting dalam membentuk ahli keluarganya supaya mematuhi etika hidup yang berlandaskan kebaikan dan meninggalkan kemungkaran. Ibu bapa yang baik akan memastikan anak-anak mereka memperolehi persediaan yang cukup dari segi fizikal, emosi, rohani, jasmani dan psikologi yang cukup. Sekiranya salah satu komponen yang dinyatakan sebentar tadi tidak dimiliki oleh anak-anak, nescaya akan berlaku tindakan yang tidak diingini yang dilakukan oleh anak-anak mereka. Penyediaan komponen seperti fizikal, emosi, rohani, jasmani dan psikologi yang mencukupi amat perlu bagi memastikan anak-anak mereka merasakan mereka di sayangi dan dikasihi serta di perhati. Sekiranya penyediaan ini tidak langsung dilakukan oleh ibu bapa atas alasan sibuk mencari nafkah, nescaya cahaya mata yang mereka sangka permata akan bertukar menjadi kaca. Pembiaran anak-anak tanpa mengambil tahu akan situasi mereka sangat-sangat tidak wajar dilakukan kerana memberi peluang kepada anak-anak untuk bersaing dengan rakan yang tidak berkualiti serta rosak masa depan. perkara ini akan menjerumus anak-anak mereka yang terbabit ke lembah kerosakan akhlak dan masalah sosial. Oleh itu, marilah kita menjaga keluarga kita agar setiap ahli yang berada di dalam sesebuah institusi kekeluargaan yang dibina akan berasa gembira dan dihargai serta disayangi. Perhatikan gerak geri anak-anak dan sebagai anak-anak, janganlah kita menyusahkan ibu bapa yang kita kasihi dan sayangi.Sayangi ibu bapa anda lebih daripada segala insan yang anda sayang di muka bumi ini.

Monday, October 4, 2010

Seindah Mawar Putih



Mawar putih, sekuntum bunga yang indah dan harum bauannya. Sentiasa mekar dan tidak pernah sesekali layu di taman larangan. Mekarnya diibaratkan seperti senyuman sang puteri pada puteranya. Mawar putih ini melambangkan kesucian di dalam diri seseorang dan pasangan dalam percintaan. Bagi diri ku, mawar putih ini melambangkan tentang seseorang yang sangat istimewa di sisi hidup ku. Namanya ayu. Wajahnya seindah dan se ayu wajah mawar putih di dalam gambar ini. Hidupnya sentiasa riang. Keriangannya sentiasa melukiskan ukiran senyuman pada bibir ku ini. Dia sangat memberi ketenangan jiwa pada diriku. Tidak sesekali menyakiti hatiku ini. Seperti mawar putih ini juga, sentiasa memberikan senyuman pada pemilik bunga ini apabila dihadiahkan dan direnunginya. Tidak pernah sesekali menerima tanggapan yang hodoh. sering dipuji. Sentiasa menggembirakan hati pemilik dan penerimanya. Oleh itu, ku jadikan mawar putih ini sebagai perlambangan kepada seseorang yang tersangat istimewa di dalam hidupku iaitu ayu...